Solat Sunat Aidil Fitri
1. Solat Sunat Hari Raya Aidil fitri merupakan solat sunat yang didirikan secara berjemaah (biasanya di masjid) pada awal pagi hari raya. Hari Raya Aidil Fitri hukumnya adalah sunat muakkad yang mana sangat-sangat dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
2. Solat Sunat Hari Raya mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat kedua, yang mana dibaca tasbih diantara takbir-takbir tersebut. Dan apabila selesai takbir dan tasbih, barulah diteruskan solat seperti biasa.
3. Niat solat sunat Aidil Fitri iaitu “Sahaja aku sembahyang sunat Aidil Fitri, 2 rokaat mengikut imam kerana Allah Taala”
4. Berbeza dengan Solat Jumaat, khutbah Solat Hari Raya adalah selepas solat. Setelah selesai khutbah, umat Islam digalakkan bersalam-salaman dan menziarahi sanak saudara, jiran tetangga serta sahabat handai.
5. Waktu untuk mengerjakan solat Aidil Fitri adalah setelah terbitnya matahari tinggi segalah sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk melewatkan solat Aidil Fitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya. Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ketika menunaikan ibadah ini seperti berikut:
a. Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat Aidil Fitri.
Dari Ibnu `Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya.
(hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)
Memandangkan solat Aidil Fitri dikerjakan di masjid-masjid, maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyat al-Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam:
Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no: 444)
b. Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Aidil Fitri. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh: Bahawa Rasulullah s.w.t melaksanakan solat `Ied tanpa azan dan tanpa iqamah. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Sholah, hadis no: 968)
Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas untuk memberi tahu para hadirin bahawa solat Aidil Fitri berjamaah akan bermula, agar mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih di tempat solat yang luas dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat.
c. Jumlah rakaat solat Aidil Fitri adalah dua. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh dia berkata: Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat…(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)
d. Terdapat tambahan takbir di dalam solat Aidil Fitri. Dari `Aisyah (radhiallahu ‘anha), dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat Aidil Fitri dan aidil Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk. Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 970.
e. Bacaan Ketika Takbir. Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari berkata: Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Aidil Fitri, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anh bahawasanya dia berkata mengenai solat Aidil Fitri: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah ‘Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atasNya.”
(Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 61)
Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti:
“Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar”.
(Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286)
f. Bacaan Surah. Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata: Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat Aidil Fitri).
(Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49)
g . Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat Aidil Fitri bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata: Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat `Ied, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat).
Amalan Sunat di Aidil Fitri
6. Aidil Fitri merupakan hari kemenangan bagi umat Islam yang berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan menahan lapar dan dahaga serta menjauhi larangan yang boleh membatalkan puasa. Di hari mulia ini umat Islam amat digalakkan untuk: -
a. Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri. Niat Mandi Sunat hari Raya iaitu “Sahaja aku mandi sunat hari raya Aidil Fitri kerana Allah Taala”
b. Menjamah sedikit makanan sebelum keluar dari rumah untuk mengerjakan Solat Aidil Fitri.
c. Memperbanyakkan Takbir.
d. Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ; Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Contohnya,”Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.
e. Memakai pakaian terbaik. Bagaimanapun, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Demikian juga, tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah atau murah.
f. Ziarah menziarahi dan merapatkan silaturahim sesama Muslim serta memohon kemaafan sempena Syawal yang mulia.
g. Sebelum merayakan Aidilfitri, kita diwajibkan membayar zakat fitrah
Read More »»











